Naning 19a        

BAB 1:KATA UNDANG NANING

Segala pujian tertentu bagi Allah s.w.t hal keadaan-Nya Tunggal tiada yang menyengutui-Nya. Kami mengakui bahawasanya tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah s.w.t dan kami mengakui bahawa-sanya Nabi Muhammad s.a.w itu utusan Allah s.w.t dan kami bermohon daripada-Nya akan pertolongan dan ribuan keampunan dan kami menuntut daripada-Nya terpelihara daripada kejahatan dan kelakuan yang jahat-jahat. Bahawa sebenar-benar perkataan yang maha benar ialah firman Allah s.w.t dan terlebih baik petunjuk Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana nan diadatkan berbunyi Kato Dahulu Nan Kato Posako.

Bahawa kemudian daripada itu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri Melaka bagi Wilayah Adat Perpatih Naning "Biar Mati Anak - Jangan Mati Adat" maka seharusnyalah Pentadbiran Adat Perpatih Naning diwujudkan dengan tulisan.

Maka memandangkan begitu mustahaknya, kami telah mengambil daya usaha serta meneliti sepanjang Adat Nan Diadatkan, Adat Nan Istiadat, Adat Nan Teradat dan Adat Nan Resam yang kita sekalian amalkan dari zaman-berzaman itu, maka dapatlah kami menitikkannya di dalam buku ini yang mengandungi sebanyak XXI Bab Yo Fasal .Maka oleh sebab segala-gala yang dibukukan ini adalah petikan daripada Tambo (Torombo), maka kami dengan sukacitanya menamakan buku ini Tambo Alam Naning di bawah kuasa nan diadat-kan kepada Yang Amat Mulia Undang Naning yang berbunyi : Undang nan Bokolantasan - Hidup Mati kopado Undang-Undang nan Monitikkan Maka berjalanlah kuat kuasanya ke seluruh wilayah Adat Perpatih Naning "Biar Mati Anak - Jangan Mati Adat" Nan Diadatkan. Anak Buah Bosolimut Pagi, Bosolendang Potang. Dititik dek Undang Ditampung dek Lombago iaitu Kato Komodian nan Tak Bocari Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka mengubah akhlak mereka sendiri.

Bahawa kemudian daripada itu oleh sebab Tambo Alam Naning ini diadatkan untuk melaksanakan segala urusan pentadbiran Adat Perpatih Naning ,maka tidak boleh tidak diadatkan kepada Dato’- Dato’ Lombago Nan Bosokat khasnya dan anak -anak buah Wilayah Adat Perpatih Naning "Biar Mati Anak -Jangan Mati Adat" amnya terlebih dahulu mengetahui apakah pengertian adat itu.Maka apabila kita menyebut Adat maka sama juga seperti kita menyebut "undang-undang".Oleh yang demikian Adat ialah undang-undang.Maka dengan menyebut undang -undang sahaja tidaklah dapat kita menunjukkan kepada apa-apa juga pun melainkan didatangi oleh satu perkara penentuan atau apakah jenis undang -undang itu,adakah undang -undang tanah atau undang-undang jalan raya dan sebagainya.Maka begitu jugalah jika kita menyebut Adat ,maka hendaklah kita menentukan Bab Yo Fasal manakah yang mengenainya.Adakah tentang hantaran nikah kahwin atau satu-satu majlis minum the atau cara pakaian ataupun mengadakan sambutan hari raya atau mengacau penganan ,jadi manakala adanya begitu maka barulah dapat kita memahami dan memakai Adat itu sebagai Adat mentadbir anak-anak buah Wilayah Adat Perpatih Naning "Biar Mati Anak -Jangan Mati Adat ‘ini.Penerangan selanjutnya ,sila ikuti Bab Yo Fasal Pengertian.

Bahawa kemudian daripada itu seharusnyalah kita sekalian faham iaitu apa-apa juga kesilapan atau kesalahan itu dapat diperbetul dengan syarat mematuhi kehendak Adat Nan Diadakan yang berbunyi: Kok sosek di hujung jalan balik ko pangkal jalan (Jalan Allah) Kok sosek di hujung kato balik ko pangkal kato (sabda Rasulullah s.a.w) Maka kata-kata Adat ini adalah berasaskan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang tidak kamu sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang pada kedua-duanya,Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Pengertian: “Jalan “ maksudnya jalan Allah . ‘Kata’ maksudnya ialah sabda Rasululah s.a.w Sebagaimana rangkapan kata Adat yang berbunyi: Potamo cupak nan asali , Kodua cupak buatan , Kotigo kato posako, Koompek kato muafakat , Kolimo kato dahulu monopati , Koonam kato komudian nan tak bocari.

Bahawa kemudian daripada itu maka diadatkanlah dalam menghadapi segala apa juga tanggungjawab adalah Bersama-sama ,susah bersama-sama ,senang bersama-sama dan seterusnya,berasaskan kerjasama seluruhnya sebagaimana rangkapan kata Adat yang berbunyi : Kato samo soiyo , Lenggang samo soayun , Duduk samo rondah , Bodiri samo tinggi , Bukit samo didaki , Lurah samo dituruni, Torjun samo basah , Molompek samo patah , Boban borek samo dipikul , Boban ringan samo dijinjing , Sotitik bopantang hilang , Sogaris bopantang lupo , Mondapek samo labo, Cicir bosamo rugi , Hati kuman samo dicocah , Hati gajah samo dilapah. Maka sepanjang rangkapan kata Adat ini bermaknalah berasaskan sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud: Jadikan diri kamu sekalian seperti kelakuan dua tangan iaitu menolong membantu saudara kamu yang sakit dan jangan jadikan diri sekalian kamu terbelenggu seperti dua mata dan dua telinga melihat dan mendengarkan sahaja kesakitan saudara kamu.

Kemudian daripada itu maka adalah menjadi dasar bagi Adat Nan Diadatkan dalam mendapat apa-apa jua keputusan atau sebarang ketetapan yang kelak diikuti oleh kita adalah dengan mendapatkannya melalui Istiadat Berkampungan (mesyuarat)bagi seluruh anak buah bagi suku yang berkenaan yang diketuai oleh Lombago Nan Bosokat suku itu.Maka dengan ini fahamlah kita sekalian iaitu sebarang Lombago Nan Bosokat suku itu.Maka dengan ini fahamlah kita sekalian iaitu sebarang Lombago Nan Bosokat (yang berpangkat Tuo atau Ibu Bapak) bagi suku masing-masing itu tidak mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman ke atas anak buah masing-masing melainkan dalam Istiadat Berkampungan (mesyuarat).Perkara nan tumbuh itu hendaklah melantik Lombago Nan Bosokat seperti Lombago yang berpangkat Tuo atau Ibu Bapak ) bagi suku masing-masing itu tidak mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman ke atas anak buah masing-masing melainkan dalam Istiadat Berkampungan (mesyuarat) .Perkara nan tumbuh itu hendaklah melantik Lombago Nan Bosokat seperti Lombago yang berpangkat Tuo atau Ibu Bapak bagi suku masing-masing .Sekiranya hendak mengadakan somondo -monyomondo atau bercerai-berai (suami isteri) ,pulang - memulangkan harta benda dan sebagainya hendaklah melalui Istiadat Berkampungan (mesyuarat) dengan menurut Bab Yo Fasal Nan Tumbuh itu.Maka semuanya istiadat itu adalah berasaskan kehendak Adat Nan Diadatkan yang berbunyi : Bulat air togah dek gopang , Bulat manusia togah dek muafakat , Botuah manusio togah dek muafakat , Cilako manusio togah dek bosilang.

Kemudian daripada itu maka Adat Perpatih Naning itu berjalan di atas landasan kesetiaan antara anak -anak buahnya dengan pihak yang berkuasa bagi suku masing-masing iaitu antara Lombago yang berpangkat Penghulu Adat Luak (mukim) dengan Y.A.M Undang Naning yang berpegang pada keadilan ,maka itu diadatkan : Kunci anak buah kopado Ibu Bapak , Kunci Ibu Bapak kopado Tuo , Kunci penghulu kopado Undang , Kunci Undang kopado koadilan . Maka berjalanlah dengan mengikut saluran : Adat nan bojonjong naik -nan botangga turun Maka semuanya berasaskan firman Allah yang bermaksud : Hai,orang yang beriman !Taatlah pada Allah dan Rasul-Nya dan juga orang -orang yang berkuasa antara kamu … Maka oleh sebab itu semua lapisan Lombago Nan Bosokat dan juga Undang Naning diadatkan ,iaitu pihak berkuasa mentadbir Adat Perpatih Naning,menurut jonjang tompoknya nan tumbuh itu adalah menepati perintah Allah .Manakala ikatan setia ini terjalin dengan baik dan menurut saluran - salurannya tidak dapat tiada antara kita sekalian tidaklah akan bercerai-berai atau berpecah -belah .Maka ini adalah dikehendaki menurut perintah Allah yang bermaksud: Berpeganglah kamu sekalian pada agama Allah ,janganlah bercerai-berai. Maka oleh itu jika kita melakukan juga perpecahan antara kita ,maka kita akan ditimpa kerugian dan malapetaka sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud : Sekiranya demikian,maka lemahlah kamu dan hilanglah kekuatan kamu . Maka untuk menjalankan pentadbiran Adat Perpatih Naning itu dengan teliti ,hendaklah kita jangan terburu -buru nafsu dan tergopoh -gapah melainkan dengan ikhlas ,sabar ,benar serta teliti dan siasatan secara terperinci ;jika tidak diragui dan tidak memuaskan ,maka haruslah dilangungkan perkara itu di bawah kuasa Adat Nan Diadatkan yang berbunyi : Jemuran tak masuk sohari -dilingkupkan.

Bahawa kemudian daripada itu,maka kita sekalian seharusnya tahu bahawa kita telah dijadikan oleh Allah s.w.t dengan adanya lelaki dan perempuan ,bersuku-suku ,berbagai-bagai warna kulit ,berbagai -bagai kaum dan bangsa .Semuanya dikehendaki supaya berkenal -kenalan antara semua golongan dan berbaik -baik dengan mengikut saluran Adat dan agama masing-masing.Maka bangsa Melayu khasnya menganut agama Islam yang Maha Suci dan mempunyai Adat yang terbahagi kepada dua jenis ,iaitu : i) Adat Dato’ Ketemenggungan . ii)Adat Dato’ Perpatih Nan Sebatang Maka oleh itu bagi kita yang berpegang pada Adat Perpatih Naning yang berasaskan Adat Dato’ Perpatih Nan Sebatang ,hendaklah bertanggungjawab mengetahuinya.Maka untuk mendapatkannya hendaklah berpedoman kehendak Adat Nan Diadatkan yang berbunyi : Konalkan diri kamu nyato-nyato, Baru dapek kamu mongonal kamu punya harto posako Kenalkan diri kamu rato-rato, Baru mongonal Tuhan yang sangat nyato. Maksudnya,tiap -tiap anak buah Wilayah Adat Perpatih Naning ‘Biar Mati Anak’-Jangan Mati Adat’,khasnya ,haruslah mengetahui kumpulan keluarga suku masing-masing serta tahu dan percaya iaitu Wilayah Adat Perpatih Naning “Biar Mati Anak -Jangan Mati Adat” ini benar -benar tempat tumpah darah mereka yang telah diterokai oleh nenek moyang berketurunan Alam Pagar Ruyung.Manakala Adat Perpatih Naning ialah Adat Nan Bosondi Syarak -Syarak Nan Bosondi Kitab Allah ,maka Adat itu (Adat Perpatih Naning) adalah undang -undang pentadbiran .Maka apabila kita sekalian sedar akan perkara-perkara begitu,barulah dating keinsafan dan terbukalah mata hati kita untuk mempelajari segala selok belok perjalanan Adat Perpatih Naning .Begitu jugalah terhadap agama Islam yang kita anuti.Jika sesiapa jua anak buah Perpatih Naning yang tidak memandang ke pangkal jalan ,asal usul dirinya maka selama itulah diri mereka itu tidak berminat untuk mengetahui perjalanan Adat Perpatih Naning.Akhirnya kitalah yang hilang pedoman .Maka untuk membuka jalan bagi anak buah Wilayah Adat Perpatih Naning “Biar Mati Anak -Jangan Mati Adat’ khasnya memahami Adat Perpatih dengan izin Allah s.w.t dapatlah Tambo Alam Naning ini dikemukakan.

Alhamdulilah ,maka dengan itu kami bersyukur kepada Allah s.w.t yang melimpahkan kurniaNya,dapat kami Menyusun Tambo Alam Naning ini di bawah Bab Yo Fasalnya.Maka Insya-Allah dapatlah seluruh anak buah menerima keadilan daripada Lombago Nan Bosokat suku masing-masing menurut kehendak Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah memrintah kamu menunaikan amanat-amanat kepada yang berhak ;dan (Dia perintah ) apabila kamu menghukum antara manusia ,supaya kamu menghukum dengan adil . Maka pertimbangan ini dapat kita dasarkan pada rangkapan kata Adat yang berbunyi : Cubit poho kiri cubit poho kanan samo sakit-nyo . Maka itulah sebabnya apabila didapati sebarang Dato’Dato’ Lombago Nan Bosokat menghukum atau melakukan kesalahan ‘salah buek’,maka hukumannya ‘posako luruh”.Ini menunjukkan beliau tidak boleh lagi menjunjung posakonya. …dan apabila kamu menghukum hendaklah kamu menghukum dengan keadilan. (Surah an-Nisa’:58) Dato’-Dato’ Lombago Nan Bosokat seharusnya mengambil inngatan ,iaitu segala kesusahan bagi menjalankan kebenaran itu tidaklah selama-lamanya begitu ,tetapi ia menjadi pendorong dan titian menuju ke jalan kesedaran dan keinsafan.

Bahawa kemudian daripada itu maka untuk berdiri teguh dalam pentadbiran Adat Perpatih Naning itu seharusnya berpedoman pada rangkapan kata Adat yang berbunyi: Kono ko parut jangan kompihkan , Kono ko mato jangan pojamkan , Padang orang jangan bolari , Padang kito jangan botenjet kaki , Ular dipalu jangan mati , Kayu pomalu jangan patah , Tanah dipalu jangan lomba , Biar mati anak jangan mati Adat . Untuk menjauhkan sentuh -menyentuh hak masing-masing dan menjauhkan daripada cabulmencabuli kuasa orang lain dan sebagainya ,maka rangkapan kata Adat yang berbunyi : Botompok bak kurap , Bojonjang bak sawah , Boumpuk masing-masing , Umpuk kita dipoumpuk, Umpuk orang jangan dipoumpok Ranting orang dipatah , Air orang disauk , Adat bona orang diduki , Jangan mombawak cupak gantang kito , Ko nogori orang lain.

Oleh sebab Adat Perpatih Naning itu sangatlah luasnya sebagaimana nan diadatkan “tohunjam ko bumi ,tosorundak ko langit “ maka kesimpulannya adalah seperti rangkapan kata yang berbunyi : Kalu dibalon sobalun kuku, Kalu dikombang solebar alam jadi , Katok paku kacang bolimbing , Tompurung dilenggang -lenggangkan , Singgah momarun di suaso , Anak dipangku ,posako dijunjung , Komanakan dibimbing , Orang kampung dipolenggangkan , Supayo nogori jangan rosak binaso . Maka untuk mempertahankan hidupnya Adat itu dikanunkan serangkap kata Adat diadatkan yang berbunyi : Solagi tak totimbus Parit Nan Asali , Solagi tak patah Kalam Nan Tungga . Maka Adat itu berjalanlah kuat kuasanya sepanjang Adat Nan Diadatkan yang bersendikan syarak: Syarak nak bosondi Kitab Allah nan dapeknyo tosirat bukannya tosurat.

  1. Parit Nan Asali
    Maksudnya semua perempuan telah tidak bernafsu.
  2. Kalam Nan Tungga
    Semua lelaki telah tidak mempunyai sifat kelelakiannya (mati pucuk).
  3. Tosirat Bukan Tosurat
    Iaitu menurut siratan hukum syarak bukan-nya menurut nafsu .Itulah sebabnya apabila haram oleh syarak ,maka salahlah bagi Adat .Contohnya ,dalam Bab Yo Fasal Sumbang Salah seperti sumbang percakapan ,sumbang kedudukan dan sumbang perjalanan antara lelaki dengan perempuan .
Demikianlah tiga pokok utama amalan iaitu ikhlas ,benar dan sabar .Masing-masing memberi pengertian yang berlainan ,akan tetapi ia Bersatu dalam semua amalan .Sedangkan amalan-amalan itu tidak akan sempurna pula tanpa ketiga -tiga pokok utama tadi .Andaikan ketiga-tiga pokok utama tadi tersingkir dari mana -mana amalan ,akan rosaklah amalan itu dan tidak akan sempurnalah ia. Seterusnya,ketiga -tiga pokok utama amalan itu tidak akan sempurna melainkan ada hubungannya antara satu sama lain .Apabila yang satu tersingkir ,maka yang lain akan turut tergendala . Sifat ikhlas itu tidak akan sempurna melainkan ada sifat benar dan sifat ikhlas . Seterusnya sifat benar tidak akan sempurna ,melainkan sifat sabar dan sifat ikhlas bersama:

  1. Moral yang tinggi Seseorang Dato’ Lombago harus jujur ,teguh pendirian ,berani ,ramah dan dapat menggunakan perkataan yang baik serta mempunyai akhlak dan keperibadian yang tinggi yang dapat dijadikan pedoman kepada anak -anak buah .
  2. Mengetahui jiwa anak-anak buah Seseorang Dato’ Lombago yang telah dijungjungkan posako suku masing-masing dengan kebulatan (muafakat) anak-anak buah suku sepanjang Adat Nan Diadatkan iaitu bulat anak buah buek Ibu Bapak ,bulat suku buek Tuo .Maka sewajarnyalah kita mengetahui ukuran ,pendirian dan pandangan anak-anak buah maing-masing terhadap sebarang masalah nan tumbuh (timbul) antara mereka untuk diselesaikan dengan baik .
  3. Berilmu pengetahuan Seseorang Dato” Lombago Nan Bosokat adalah juga seorang pemimpin dan sewajarnyalah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup bagi memimpin anak-anak buah masing-masing ke jalan yang diredai Allah dan seharusnyalah tiada penyelewangan .Ilmu di sini haruslah disertai keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t dan Rasululah s.a.w supaya pimpinan itu tidak menuju ke jalan yang tidak diredai oleh Allah s.w.t Jadi seharusnya Dato’-Dato’ Lombago Nan Bosokat sekalian sedar bahawa kita sendiri telah dianugerahi Allah pangkat yang tertinggi dalam suku masing-masing.
  4. Mempunyai ketenangan ,ketabahan dan kesabaran Seseorang Dato’ Lombago Nan Bosokat perlulah mempunyai sifat tenang ,tabah dan sabar serta bertakwa dalam menjalankan tugas .Perkara ini sangatlah penting sebab tanpa sifat-sifat ini kemungkinan akan cepat putus asa dan kelak meletakkan posako yang dijunjung itu kepada waris di kerelaan .Tetapi yang sebenarnya ialah mereka tidak mempunyai sifat-sifat tersebut .Untuk menjauhkan daripada cepat putus asa,seharusnyalah Dato’ Dato’ Lombago Nan Bosokat berpedoman pada firman Allah yang bermaksud : Demi masa ,sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal salih dan berpesan -pesan dengan kesabaran . Kata Adat yang berbunyi : Bocakap siang pandang -pandang ,bocakap malam dongar-dongar yang bermaksud sekalipun perkara yang disembahkan oleh anak buah kita atau itu jelas dan terang atau tidak jelas ,maka tidaklah kita terburu-buru mengarahkan perkara itu benar atau alah ;hendaklah kita menjalankan siasatan sepanjang Adat Nan Diadatkan ,harus difahami.
  5. Berpegang teguh mengutamakan kepentingan anak-anak buah daripada kepentingan diri sendiri . Berdasarkan Adat Nan Diadatkan Dato’Dato Lombago Nan Bosokat adalah pihak yang berkuasa mentadbir anak buah suku masing-masing.Begitu juga dengan Undang Naning kepentingan anakanak buah diutamakan daripada kepentingan sendiri (pihak pentadbir).Ia sesuai dengan prinsip Dato’ Perpatih Nan Sebatang pengasas Adat Perpatih ,mengamalkan perangai mementingkan anak - anak buah kita daripada diri sendiri .Beliau mengamalkan “kurang tidur lobih bojago” dan berasaskan kata Adat yang berbunyi : Duduk samo rondah ,bodiri samo tinggi , Kato samo saiyo ,lenggang samo soayun , Bukit samo didaki ,lurah sama dituruni , Boban borek samo dipikul ,boban ringan samo dijinjing , Kok mondapek samo labo ,kok cicir samo rugi , Kok hati gajah samo dilapah ,kok hati kuman samo dicocah

Dato’-Dato’ Lombago Nan Bosokat telah menjalankan tanggungjawab sepanjang Adat Nan Diadatkan ,iaitu Dato’-Dato’ sekalian diadatkan menjadi mata ,telinga dan sayap Undang dalam segala urusan.Maka seharusnya menghadapi berbagai-bagai masalah yang merunsingkan dalam menghadapi anak buah yang ramai itu,seperti kata bidalan “rimbun itu monyolaro ramai itu boragamo”.Oleh sebab itu kita telah menerima amanah daripada anak buah masing-masing ,tidak dapat tidak kita sekalian terpaksalah mendukung dan melaksanakan amanah itu dengan seadiladilnya .Oleh yang demikian Dato’-Dato’ Lombago Nan Bosokat sekalian berpeganglah pada asas yang bersesuaian kerana kita sekalian menganut agama Islam yang Maha Suci dan berpegang pada Adat (undang-undang) yang berdasarkan Adat Nan Bosondi Syarak ,Syarak Nan Bosondi Kitab Allah .Maka diadatkanlah bagi kita bersifat :

  1. Ikhlas Sebagaimana firman Tuhan yang bermaksud Maka sembahlah Allah dalam keadaan penuh ikhlas beragama kepada-Nya .Ketahuilah agama yang bersih itu kepunyaan Allah .
  2. Sabar Hai ,orang-orang yang beriman!Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan sembahyang ,kerana sesungguhnya Allah itu berserta orang-orang yang sabar .
  3. Benar Bahawa tiap -tiap seorang Dato’ Lombago Nan Bosokat itu diadatkan bagi mereka tiga perkara yang menjadi dasar bagi membuat satu-satu keputusan yang adil ,maka itulah sebab Adat berkata : “Borani karona bona ,takut korano salah “.Mengikut Adat Nan Diadatkan ,pihak yang berkuasa berhak mengadatkan ,pihak yang berkuasa berhak menghukum sama ada emas atau kebendaan .Menurut Bab Yo Fasal Nan Tumbuh itu,tetapi tidak berkuasa menghukum dengan bersendirian melainkan diadatkan melalui Istiadat Berkampungan (sila lihat Bab Yo Fasal Berkampungan ).
  4. Bahawa sesungguhnya adalah diingatkan kepada seluruh Lombago Nan Bosokat khasnya dan anak buah Wilayah Adat Perpatih Naning ‘Biar Mati Anak’ -Jangan Mati Adat ‘amnya ,iaitu dalam menjalankan Adat Nan Diadatkan ,Adat Nan Istiadat ,Adat Nan Teradat dan Adat Nan Resam itu diadatkan (hendaklah) disebutkan Adat Perpatih Naning Nan Berasaskan Adat Dato’ Perpatih Nan Sebatang .Di sini bermakna kita tidak boleh menyebutnya ‘Adat Perpatih Nan Sebatang “,disebabkan :
    1. Adat ini bukan sahaja dianuti oleh kita di Naning (Wilayah Adat Perpatih Naning) “Biar Mati Anak -Jangan Mati Anak ‘ ini,tetapi dianuti juga oleh Luak Sungai Ujong ,Luak Jelebu,Luak Johol dan Luak Rembau ,maka oleh kehendak Adat Nan Diadatkan : Botompok bak kurap ,bojangjang bak sawah ,boumpuk masing-masing, Dan Air orang disauk ,gantang orang dipatah ,Adat bona orang diduduki , Dan Jangan mombawak cupak gantang nogori kito ko nogori orang lain ,mako oleh sebab itu tumbuhlah .
    2. Perbezaan dalam Bab Yo Fasal Nan Tumbuh ,contohnya:
      1. Adat hantaran nikah kahwin dan somondo -monyomondo itu ada berjalan ,mahupun di Naning juga di luak lain seperti Luak Sungai Ujong,Luak Jelebu ,Luak Johol dan Luak Rembau ;tetapi banyak emas -nya berlainan daripada kita di Naning ,maka Adat hantaran itu diadatkan (hendaklah) diadakan ,sebab ini mengikut Adat Perpatih Nan Sebatang sekalipun banyak perbezaannya.
      2. Bahawa tumbuhnya segala perbezaan itu adalah dengan sebab Adat (undang-undang) itu boleh diubahsuai menurut peredaran masa dan pertukaran zaman di bawah kuasa dan kehendak Adat Nan Diadatkan yang berbunyi: Sokali air bah sokali pasir borubah , Sokali rajo boganti sokali adat bokisar, Patah tumbuh hilang boganti , Hilang satu boganti satu , Tak boleh dianjak dialih lagi , Dicabut layu dianjak mati, Undang nan bokolantasan , Hidup mati kopado Undang , Undang nan monitikkan , Lombago nan monampong , Anak buah bosilimut pagi , Bosolendang potang, Kato komudian nan tak bocari lagi .

Bahawa kemudian daripada itu maka menurut kehendak Adat Nan Diadatkan “Undang berkata di Balai Nan Tinggi di Istana Nan Panjang” maka saya Mohd .Shah bin Mohd .Said yang menjunjung Posako Kebesaran Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Penghulu Naning (Undang Naning) dengan hak -hak dan kuasa-kuasa dalam pentadbiran Adat Perpatih Naning sebagai Undang Naning yang diberi kuasa oleh Adat Nan Diadatkan : Sokali air bah sokali pasir borubah , Sokali rajo boganti ,sokali adat bokisar , Undang nan bokolantasan , Hidup mati kopado Undang , Undang nan monitikkan , Lombago nan monampung , Anak buah bosolimut pagi , Bosolendang potang . Maka dengan nama Allah yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani menitikkan dan memasyhurkan dan bagi pihak pewaris kami,maka berkuat kuasanya Tambo Alam Naning nan diadatkan Undang-undang Tubuh Adat Perpatih Naning di seluruh Wilayah Adat Perpatih Naning “Biar Mati Anak -Jangan Mati Adat’ dan tidak ada hak bagi sebarang peguamcara dan peguam belam mencampurinya . Satu hari bulan Januari tahun satu ribu Sembilan ratus lima puluh lapan (1 Januari 1958). Amin Yarabul’ Alamin .

BIAR MATI ANAK -JANGAN MATI ADAT